JURNAL 3



ADAT-ISTIADAT PERKAHWINAN BAJAU
PULAU OMADAL SEMPORNA


DIsediakan oleh:

Haji Akhmad bin Haji Monggoh
Guru Besar, SK. Kinabutan Besar, Tawau


PENGENALAN

Orang Bajau merupakan salah satu kaum bumiputera yang kedua terbesar di Sabah selepas kaum Kadazan-Dusun. Bila sahaja menyebut tentang kaum Bajau, kita seringkali mengaitkannya dengan daerah Kota Belud. Kita sebelum ini mungkin tidak pernah didedahkan dengan satu lagi kaum dalam rumpun kaum Bajau iaitu Bajau Pulau Omadal. Bajau Pulau Omadal ini merupakan satu kelompok Bajau yang terdapat di daerah Semporna di mana ia berbeza dengan kelompok Bajau Laut.

          Pulau Omadal yang terletak di Laut Sulawesi merupakan sebuah pulau yang diduduki oleh orang Bajau. Ia terletak dalam daerah Semporna, Residensi Tawau, di sebelah pantai timur negeri Sabah. Keluasan pulau ini kira-kira 300 ekar atau 0.47 batu persegi dan dikekelingi oleh pulau-pulau lain, iaitu seperti Pulau Bum-bum, Pulau Siamil, Pulau Danawan, Pulau Karindingan, Pulau Bohayan dan lain-lain lagi. Ramai penduduk Pulau Omadal mempunyai kaum kerabat di Pulau Bum-bum. Di samping itu, Pulau Bum-bum juga merupakan ‘gedung air’ bagi Pulau Omadal kerana Pulau Omadal tidak ada air tawar.[1]

          Seperti juga kaum-kaum lain, kaum Bajau Omadal ini juga mempunyai kebudayaan dan adatnya yang tersendiri misalnya dalam soal-soal kelahiran dan kematian, kepercayaan dan keagamaan dan tidak terkecuali soal perlahwinan.




PERKAHWINAN KAUM BAJAU DI PULAU OMADAL

Seperti juga bangsa-bangsa lain, bagi kaum Bajau di Pulau Omadal juga perkahwinan merupakan perkara yang amat penting. Melalui perkahwinan mereka akan mencapai status baru sebagai suami atau isteri dan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Oleh sebab perkahwinan besar ertinya bagi pasangan yang hendak berkahwin dan bagi kaum keluarga yang lain, maka setiap upacara perkahwinan biasanya diadakan secara besar-besaran dan disambut dengan meriah bukan sahaja bagi sanak saudara malah seluruh masyarakat Pulau Omadal. Melalui perkahwinan juga kita boleh melihat keunikan budaya masyarakat Bajau Omadal ini.

          Secara umumnya masyarakat di pulau ini mengamalkan perkahwinan yang bersifat ‘endogamous’ iaitu perkahwinan antara kaum kerabat. Walaupun mereka mengamalkan perkahwinan sebegini namun mereka tetap membataskan perkahwinan di mana mereka tidak boleh mengahwini saudara-saudara terdekat. Misalnya, lelaki tidak boleh mengahwini ibu, adik-beradik, anak, nenek, anak-anak dan cucu cicit adik-beradik lelaki bapa dan saudara terdekat. Jika berlaku juga, perkahwinan seperti itu dianggap sumbang dan ‘panas’.[2]

          Orang Bajau juga amat teliti tentang pelaksanaan setiap majlis perkahwinan. setiap majlis mesti diadakan selaras dengan tuntutan adat dan agama. Sebagai langkah pertama, ibu bapa pihak lelaki akan memilih seorang calon gadis. Untuk memastikan sama ada calon tersebut sesuai atau tidak, mereka akan berunding dengan saudara mara terlebih dahulu. Ada kalanya nasib si gadis akan ditilik terlebih dahulu. Setelah menemui calon yang sesuai  maka barulah peminangan dilakukan yang akan didahului dengan merisik

MERISIK

Seperti kaum-kaum lain, upacara merisik juga terdapat dalam adat perkahwinan orang-orang Bajau Omadal. Tujuan merisik adalah untuk bertanya kepada keluarga pihak perempuan sama ada pinangan mereka diterima atau tidak. dalam hal ini, pihak lelaki akan menghantar wakilnya sama ada bapa atau saudara lelaki pihak bapa untuk berjumpa pihak peerempuan. Sebelum urusan peminangan yang sebenar diadakan, pihak keluarga perempuan akan berbincang sesama sendiri terlebih dahulu. Dalam perbincangan ini calon gadis tadi tidak akan dilibatkan.

MEMINANG
Setelah mencapai kata putus barulah urusan meminang diadakan. Urusan meminang ini dikenali sebagai ‘Pagpahandaan’. Dalam majlis ini seruluh saudara mara biasanya akan berkumpul. Majlis biasanya akan diadakan di rumah datuk nenek si gadis. Jika gadis itu tidak mempunyai datuk atau nenek lagi, maka majlis tersebut bolehlah diadakan di rumah ketua kampong atau rumah si gadis sendiri.

          Semasa majlis ini juga pihak lelaki perlu membawa sebentuk cincin, gelang atau kancing emas jika mereka tidak membawa sebarang hadiah atau tanda semasa majlis merisik. Tempoh pertunangan juga biasanya dua bulan. Dalam tempoh pertunangan ini digunakan oleh calon lelaki dan gadis untuk melengkapkan diri mereka masing-masing.

MAJLIS PERKAHWINAN

Setelah mencapai tempoh seperti yang dijanjikan, maka majlis perkahwinan pun diadakan. Penetapan hari perkahwinan ini biasanya dipilih pada hari ke-14 atau ke-15. mereka juga akan mengelakkan untuk mengadakan perkahwinan pada hari Rabu dan Ahad yang dianggap kurang baik. Sebelum majlis perkahwinan, pihak lelaki juga perlu memberikan sesuatu yang dikenali dalam budaya orang Melayu sebagai hantaran. Dalam masyarakat Bajau Omadal, ia dikenali sebagai ‘isi kahwin’.

          Antara barang-barang yang disenaraikan dalam ‘isi kahwin’ adalah seperti mahal (mahar) iaitu mas kahwin yang ditetapkan oleh agama Islam. Kedua ialah ‘kabing-nga buleh’ yang berupa sebentuk cincin ataupun rubun (sejenis loket atau butang emas yang diperbuat dalam bentuk duit syiling British. Ketiga ialah ‘Bahsing-ngan’ iaitu segulung kain putih yang wajib diberi oleh pihak lelaki. Keempat, ‘kehampitan’ yang merupakan tuntutan ‘Kuih Panyam’ yang merupakan kuih tradisional orang Bajau. Kelima pula ialah ‘Kaukaban lawang’ yang merupakan bayaran sebelum membenarkan pengantin lelaki masuk ke rumah pengantin perempuan. Keenam pula ialah ‘sokat’ iaitu benda-benda pelik seperti 300 biji telur penyu, gigi buaya, telur buaya yang tidak ada isi dan tidak pecah kulitnya tapi boleh digantikan dengan wang, ayam putih, pisau atau lain-lain yang dipersetujui, hati nyamuk yang boleh juga digantikan dengan beberapa jenis kuih seperti kuih ‘jala’. Ketujuh ialah ‘Sangbai’ yang bermaksud timang-timangan kerana melaluinya pihak perempuan dapat ‘menimbang’ keperibadian lelaki.. terakhir ialah benda-benda lain sepeti sebilah keris atau bujak, kuih dodol dan sehelai sarung daripada benang emas.

          Setelah isi kahwin dihantar, maka bolehlah persiapan perkahwinan mula diadakan. Pada masa dahulu, majlis perkahwinan diadakan secara ringkas iaitu sehari semalam sahaja tetapi sekarang majlis perkahwinan umunya dilangsungkan selama dua hari satu malam. Malam sebelum hari perkahwinan dinamakan sebagai majlis ‘maglami-lami’. Dalam majlis ini seluruh kaum keluarga berkumpul sambil menjamu selera dan turut diraikan dengan pelbagai tarian yang menghiburkan. Kadangkala sebelum upacara ini, satu jamuan khas untuk nenek moyang yang telah meninggal dunia diadakan.

          Selepas acara ‘maglami-lami, majlis akad nikah diadakan. Ia merupakan kemuncak majlis perkahwinan kerana pengantin disahkan sebagai suami isteri dari segi agama Islam. Acara akad nikah masyarakat Bajau Omadal ini sama seperti akad nikah masyarakat Islam yang lain yang mengikut ajaran Islam. Dari segi perhiasan pula kini kita lihat pakaian pengantin perempuan boleh dikatakan sudah jauh berbeza kerana pada zaman dahulu pengantin perempuan akan memakai baju ketat yang berwarna putih dan seluar longgar yang berwarna merah. Pengantin lelaki pula akan memakai songkok yang dihiasi emas dan pakaian terdiri daripada sehelai jubah di bahagian luar dan baju putih serta seluar yang panjang lebar di bahagian dalam.

          Selepas selesai upacara akad nikah, pengantin lelaki diarak ke rumah pengantin perempuan untuk bersanding. Menurut kepercayaan masyarakat Bajau Omadal, pengantin tidak boleh memijak tanah sebelum tamat tiga hari selepas nikah. Sekiranya mereka memijak tanah sebelum tamat tiga malam itu, mereka dipercayai akan ditimpa bahaya. Walau bagaimanapun, jika selepas akad nikah pengantin itu sempat diturunkan ke tanah (iaitu selepas semua tetamu balik), mereka tidak perlu menunggu sehingga tiga malam sebelum dapat memijak tanah. Tetapi jika selepas satu malam selepas akad nikah mereka tidak memijak tanah, maka terpaksalah menunggu sehingga lepas malam ketiga.[3]

          Satu lagi keunikan adat perkahwinan kaum Bajau di Pulau Omadal ini adalah upacara membuka tiga tirai pelamin yang jarang ataupun tidak diadakan bagi mana-mana masyarakat yang ada di Malaysia. Apabila rombongan pengantin lelaki sudah agak dekat, pihak perempuan akan menutup pintu rumah dan menurunkan tirai di hadapan pelamin untuk melindungi pengantin perempuan daripada penglihatan pengantin lelaki. Untuk bertemu dengan pengantin perempuan, pengantin lelaki terpaksa memenuhi beberapa syarat. Pertama, pintu rumah pengantin perempuan mesti dibuka oleh pihak pengantin lelaki dengan cara membayar wang tebus pintu. Selepas membayar wang ‘Kaukaban lawang’, pengantin lelaki dibawa ke pelamin yang biasanya dilindungi oleh tiga lapis tirai. Di belakang tirai-tirai itu bersama-sama pengantin perempuan ialah seorang perempuan yang akan ‘magjam-jam atau berbalas pantun dengan seorang penyanyi lelaki daripada pengantin lelaki yang berdiri di luar tirai bersama-sama rombongan pengantin lelaki. Pembuka tirai itu selepas demi selapis juga disertai pengantin lelaki dan perempuan. Setiap tirai hanya akan dibuka setelah pihak pengantin lelaki membayar wang tebusnya sebanyak mana yang difikirkan patut. Selepas selesai beberapa upacara ini maka barulah pengantin lelaki dibenarkan bersanding bersama dengan pengantin perempuan.
















KESIMPULAN

Perkahwinan mempunyai besar ertinya bagi orang Bajau Pulau Omadal dan tiap-tiap anggota masyarakat harus diberi peluang untuk mencapai peringkat hidup ini. Bagi mereka perkahwinan dilihat sebagai sesuatu yang dapat melengkapkan kehidupan seseorang tetapi sama ada kehidupannya senang atau tidak selepas kahwin bergantung sebahagian besarnya pada peribadi suami atau isteri. Itulah sebabnya orang Bajau amat teliti tentang pemilihan menantu, pertunangan, penghantaran ‘isi kahwin’ dan sebagainya.

          Masyarakat Bajau di Pulau Omadal ini juga amat mementing soal adat terutama dalam hal perkahwinan ini. Corak perkahwinan dengan kaum kerabat sendiri iaitu yang bercorak ‘endogamous’. Ini adalah kerana corak sosial dan cara hidup mereka yang masih lagi tidak terdedah dengan dunia luar. Oleh kerana itulah mereka lebih senang untuk memilih kaum kerabat sendiri untuk menjadi pasangan hidup mereka.

          Walaupun mereka masih lagi terikat dengan pelbagai adat dalam soal perkahwinan namun mereka tetap menitik beratkan soal agama di mana upacara akad nikah masih merupakan perkara paling penting dan sememangnya ia merypakan perkara wajib dalam perkahwinan Islam. Oleh itu, selagi adat-adat perkahwinan ini tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, maka tidak salah jika sesuatu kaum itu untuk terus mengekalkannya. Ini kerana ia penting untuk mengekalkan identiti sesuatu kaum tersebut.










BIBLIOGRAFI


Clifford Sather  (1997), The Bajau Laut: Adaptation, History, and Fate in a Maritime    Fishing Society of South – Eastern Sabah, New York: Oxford University.

Gusti Saat, (2003), Komuniti Samah-Bajau di Sabah, Bangi : Universiti Kebangsaan     Malaysia.

Yang Beng Liang, (1978), Sistem Kepercayaan Orang Bajau Omadal, Sabah. Kuala     Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Yap Beng Liang, (1993), Orang Bajau Pulau Omadal : Aspek-Aspek Budaya, Kuala      Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Retrieved July 28, 2006 from http://malaysiana.pnm.my  (2000)


[1] Yap Beng Liang, 1993,  Orang Bajau Pulau Omadal, Aspek-aspek Budaya, Selangor: DBP, Hal. xiii
[2] Ibid. Hal. 67
[3] Ibid. Hal. 96

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes