JURNAL 1



PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (P&P)


Disediakan oleh:

Haji Akhmad bin Haji Monggoh
Guru Besar, SK. Kinabutan Besar, Tawau


PENGENALAN

ICT adalah singkatan kepada Information Communication Techonology. ICT adalah merupakan gabungan kemajuan dalam komunikasi teknologi elektronik mikro dan telekomunikasi untuk menyalurkan maklumat supaya dapat membuat keputusan yang tepat. Dalam pendidikan, ICT boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses dan menyalurkan serta menyebarkan maklumat secara pantas seperti hantaran elektronik (e-mail) atau CD Rom untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
          ICT dikatakan boleh menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan teknologi komunikasi seperti pengajaran berasaskan komputer. Kebolehan menstrukturkan dan menyusun maklumat untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran merupakan kemahiran yang perlu ada pada setiap orang guru dalam zaman maklumat ini. Sistem pendidikan kini mengalami perubahan berikutan dengan perkembangan teknologi komputer dan telekomunikasi. Secara tidak langsung ia akan mempengaruhi kurikulum serta proses pengajaran dan pembelajaran dan sekolah akan dibanjiri oleh maklumat yang dibawa oleh teknologi-teknologi maklumat baru. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan pendekatan yang lebih inovatif untuk mengambil peluang daripada perkembangan teknologi maklumat serta untuk menghadapi cabaran ini.
PENGGUNAAN ICT

Perkembangan pesat dalam bidang teknologi pengkomputeran telah banyak memberi kesan kepada pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan lebih-lebih lagi dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Menurut Reighlath (1987),
          “…As we enter deeper into a highly technological, rapidly changing information-oriented society, the present structure of our education system will become more and more inadequate! With our entire nation still at risk, we are forced to reevaluate and restructure the entire way schools operate, the approaches we use in teaching and the way students learn.”
Senario ini telah mendorong kerajaan menerapkan penggunaan teknologi komputer ke dalam bidang pendidikan bermula daripada peringkat sekolah rendah lagi. Sebagai contoh Kementerian Pelajaran Malaysia telah membelanjakan kira-kira RM30.1 bilion peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-8 untuk menyediakan pelbagai kemudahan prasarana pendidikan di negara ini termasuk kemudahan ICT di sekolah-sekolah. Pengarah Pendidikan Malaysia dalam perutusan Hari Guru tahun 2002 juga telah menegaskan tentang kepentingan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.

          Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Daripada sini jelaslah bahawa penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid perlu diberi penekanan yang sewajarnya.

          Semenjak tahun 1986 lagi kerajaan telah mula memperkenalkan komputer di sekolah-sekolah melalui projek-projek seperti berikut:
·         1986        Pengenalan kepada Komputer
·         1992        Mata pelajaran Literasi Komputer untuk Tingkatan 1 dan                              Tingkatan 2
·         1994        Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (PBK)
·         1995        Jaringan Pendidikan
·         1996        Perluasan Komputer dalam Pendidikan
·         1999        Mata pelajaran IT sebagai mata pelajaran elektif di Tingkatan 4                     dan Tingkatan 5
·         2002        Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (EteMS)

Selain daripada Sekolah Bestari, sekolah-sekolah rendah harian biasa di negara ini telah dibekali dengan pelbagai kemudahan ICT. Projek Makmal Komputer Fasa 1 dan Projek Makmal Komputer Fasa 2 adalah usaha ke arah tersebut. Selain daripada itu dalam pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (EteMS), setiap sekolah juga telah dibekali dengan peralatan serta perisian ICT bagi memastikan unsur-unsur ICT dapat digabungjalinkan, diserap dan diterapkan kepada murid-murid. Projek ini telah bermula pada tahun 2002 dan ramai guru-guru telah dihantar untuk berkursus. Sekolah-sekolah juga telah diberi lebih peruntukan bagi pelaksanaan EteMS. Ini termasuk guru-guru dan sekolah dibekali dengan komputer bimbit serta projektor LCD bagi kegunaan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan.

          Selain daripada itu, pelaksanaan ICT sekolah adalah dengan harapan agar berlaku pembelajaran tutorial dan pembelajaran penerokaan. Walau bagaimanapun kemudahan ICT juga adalah diharap dapat digunakan sebagai peralatan aplikasi serta peralatan komunikasi untuk kemudahan semua pihak selaras dengan perkembangan pesat teknologi terkini. Murid-murid yang ada di sekolah rendah sekarang adalah bakal generasi yang akan hidup dalam zaman teknologi pengkomputeran yang begitu canggih di masa akan datang.

ICT DAN PENGAJARAN
Kepercayaan kini ialah ICT adalah cara dalam mana pendidikan yang lebih baik akan diperoleh. Ini membayangkan sumbangan utama teknologi untuk meningkatkan pendidikan. Contoh demi contoh merujuk kepada teknologi perkakasan seakan-akan teknologi-teknologi itulah yang membawa ke hasil yang diharapkan. Pada sebahagiannya ini mungkin benar, tetapi yang merumitkan di sini ialah untuk memastikan proses yang selari dengan teknologi itu berfungsi. Kerap kali bahagian lembut teknologi disembunyikan dan tidak lagi diberi perhatian langsung. Pengajar boleh dilatih, pelajar didorong menyertai dalam percubaan Pembelajaran Bestari, perkakasan mungkin berada, tetapi adakah pendekatan kepada pengajaran novel atau inovatif? Apa yang kita saksikan adalah kemahiran terlatih yang ditunjuk-tunjuk dalam masa sebenar dan yang mungkin memerlukan penyesuaian. Beberapa pengajar mungkin tertarik dengan idea konstruktivisme, tetapi akan menghadapi masalah melaksanakannya dalam bilik darjah. ICT boleh menjadi pemudah cara yang kuat bagi pengajaran dan pembelajaran dengan sebab-sebab dan kebijaksanaan untuk berjaya. Juga pengukuran pencapaian mungkin boleh dipersoalkan. Kita boleh menyepadukan ICT dengan lebih berakal kalau kita memahami teknologi-teknologi lembut.

BEBERAPA PERMASALAHAN YANG TIMBUL DI SEBALIK PENGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Kita menyedari dan mengakui bahawa penggunaan ICT kini menjadi suatu perkara yang penting dalam kehidupan kita. Penggunaannya kini tidak terhad kepada bidang-bidang tertentu sahaja malah hamper semua kehidupan kini dipengaruhi oleh penggunaan ICT. Begitu jugalah halnya dengan bidang pendidikan. Bidang pendidikan juga tidak boleh lari dari dipengaruhi oleh pengaruh ICT. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa pihak Kementerian juga turut sedar akan kepentingan teknologi ini lantas mewujudkan beberapa projek seperti projek mewujudkan makmal IT di setiap sekolah di seluruh negara. Walau bagaimana maju pun sesuatu teknologi itu, kita masih tidak boleh mengelakkan daripada wujudnya kelemahan.

          Projek Makmal Komputer yang diadakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ini patut dipuji. Demi melahirkan generasi yang celik IT, kerajaan sanggup memperuntukkan berbilion ringgit untuk tujuan ini. Kita sebagai rakyat seharusnya bersyukur kerana generasi muda kita kini telah dibekalkan dengan kemudahan ICT yang canggih. Namun masalahnya di sini adalah ada sesetengah pihak yang tidak mengaplikasikan kemudahan yang disediakan ini dengan sebaiknya. Misalnya penggunaan ICT dan projektor untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah tidak digunakan sepenuhnya. Jika kita lihat di beberapa sekolah, kita boleh lihat beberapa alat projektor yang telah tersimpan rapi dalam stor atau mungkin hanya diletakkan dalam bilik darjah dalam keadaan yang berhabuk tanpa penjagaan yang sepatutnya. Sama ada kita sedar atau tidak, hal ini sememangnya berlaku di sekolah-sekolah. Dalam hal ini siapakah yang harus dipersalahkan lagi? Sebagai orang yang bertanggungjawab kita hendaklah memberi kerjasama yang sepenuhnya dengan pihak-pihak yang sepatutnya dengan menghargai dan menggunakan sebaiknya kemudahan-kemudahan yang dibekalkan ini. Begitu juga halnya dengan komputer bimbit yang dibekalkan untuk digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Ada sesetengah pihak yang mungkin kekurangan pendedahan sivik yang memanipulasikan kemudahan yang diberikan kepada mereka untuk kegunaan diri sendiri. Sepatutnya hal sebegini tidak berlaku.
          Di samping itu, permasalahan juga kita lihat timbul apabila kurangnya pengisian yang padu dalam pengajaran dan pembelajaran IT ini. Kita telah dibekalkan dengan kemudahan makmal komputer sekolah yang cantik dan dilengkapi dengan komputer yang serba baru. Namun kumpulan sasaran bagi projek ini iaitu golongan murid-murid, boleh dikatakan bahawa pengetahuan tentang dunia teknologi masih di takuk yang lama. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal sebegini? Sepatutnya apa yang perlu dilakukan adalah menyediakan pengisian khas ataupun mewujudkan mata pelajaran Teknologi Maklumat ini di peringkat sekolah rendah lagi. Sudah tiba masanya sebenarnya untuk kita menjadikan mata pelajaran ini sebagai mata pelajaran teras dan bukan mata pelajaran elektif lagi.

          Pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT ini sebenarnya masih belum boleh dijalankan sepenuhnya di negara kita kerana masih ada sekolah-sekolah di pendalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik langsung. Jika keadaan ini berlaku, kita tidak mampu untuk berkata apa lagi kerana tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan telah ditunaikan. Disebabkan keadaan sekolah yang terlalu jauh daripada kawasan pekan atau Bandar menyebabkan ia akan ketinggalan dari segi ilmu IT ini. Oleh itu, ilmu yang serba canggih ini sebenarnya belum tentu dapat diaplikasikan sepenuhnya kerana faktor-faktor seperti ini.
          Walaupun penggunaan Internet dikatakan dapat menjimatkan masa untuk kita berhubung dengan dunia luar dan membolehkan kita mendapatkan maklumat dengan mudah namun salah satu masalah yang sering timbul adalah kos penyelenggaraan bagi set komputer adalah tinggi. Oleh kerana itulah sekolah-sekolah di negara kita sering mengalami masalah kekurangan komputer dalam pembelajaran dan pelajar-pelajar terpaksa berkongsi sebuah komputer untuk dua atau tiga orang. Kos penyelenggaraan ini sentiasa tinggi kerana komputer adalah satu peralatan teknologi yang agak sensitif.


KESIMPULAN

Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat wawasan 2020. institusi pendidikan sebagai wadah terpenting bagi mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Penggunaan ICT dalam sistem pendidikan kita sudah diwujudkan sejak dahulu lagi. Walaupun kita tahu bahawa penggunaan ICT ini dapat menjimatkan masa dan tenaga namun kita perlu mengakuinya bahawa masih terdapat kelemahan dan masalah daripadanya. Walau apa pun kita tidak seharusnya menjadikan masalah dan kelemahan ini sebagai penghalang untuk kita mempelajarinya. Sebagai guru, kita haruslah bijak dan amanah dalam menggunakan segala kemudahan yang diamanahkan kepada kita.

          Untuk mencapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi. Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran kita sendiri.


BIBLIOGRAFI

Ismail Zain (2002), Aplikasi Multimedia dalam Pengajaran, Kuala Lumpur : Utusan
Publications Sdn. Bhd.

Jacquetta Megarry et.al (1983), Computer and Education, USA : Nichols Publishing
Company

Rozinah Jamaludin (2000), Asas Multimedia Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd

Zoraini Wati Abas (1993), Komputer Dalam Pendidikan, Kuala Lumpur : Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd.

Retrieved August 9, 2006 from   http://pendidikan.tv/guruinternet.html   (2000)


Retrieved August 9, 2006 from 


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes