JURNAL 2




ADAT-ISTIADAT KEMATIAN BAJAU
PULAU OMADAL, SEMPORNA


Disediakan oleh:

Haji Akhmad Haji Monggoh
Guru Besar, SK. Kinabutan Besar, Tawau


PENDAHULUAN

Orang Bajau boleh didapati di beberapa tempat di Asia Tenggara dan salah satu tempat yang mengandungi bilangan orang Bajau yang agak ramai ialah Sabah. Di Sabah orang Bajau paling ramai tinggal di daerah Semporna dan Kota Belud. Secara tradisi orang Bajau dianggap sebagai pelaut dan nelayan dan amat terkenal sebagai penghuni perahu pada masa dahulu tetapi sekarang kebanyakan mereka telah menjadi penghuni rumah. Sebagai penghuni rumah kawasan penempatan yang digemari ialah di pesisiran pantai dan pulau. Walau bagaimanapun, kini ramai juga orang Bajau, terutama di kawasan pantai barat Sabah, menduduki kawasan yang agak jauh dari laut. Orang Bajau Sabah masih terkenal sebagai nelayan yang mahir dalam pembinaan dan pengendalian perahu serta pengumpulan hasil laut. Walau bagaimanapun, di samping menjadi nelayan, terdapat di kalangan orang Bajau yang bekerja dalam bidang lain seperti pertanian dan penternakan binatang, perniagaan, perkhidmatan kerajaan dan sebagainya.

          Seperti yang kita tahu bahawa kajian tentang orang Bajau belum banyak dilakukan. Oleh kerana itulah agak sukar untuk menyatakan tentang asal usul kaum ini. Maklumat yang ada tentang asal usul orang Bajau kebanyakannya diperolehi melalui cerita-cerita lagenda dan kebenarannya sukar dibuktikan[1].  Secara umumnya terdapat dua golongan kaum Bajau iaitu orang Bajau pantai barat dan orang Bajau pantai timur. Walaupun sama dikenali sebagai ’Bajau’ tetapi sebenarnya antara orang Bajau pantai barat dengan orang Bajau pantai timur ini mempunyai banyak perbezaan dari segi bahasa, cara hidup dan adat istiadat. Orang Bajau pantai barat dikenali sebagai Bajau Darat dan mereka sememangnya tidak mempunyai kaitan dengan Bajau Laut. Umumnya dapat dikatakan bahawa orang Bajau Darat Sabah mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi daripada orang Bajau pantai timur.[2]









 











Pada 20. 8. 2006 kami tiba di jeti utama Kg. Balimbang dan di sin kami menunggu bas ke Kg. Gusung Melanta
 

Kami tiba di jeti Kg. Gusung Melanta , pengkalan ke Pulau Omadal
 

 





ADAT KEMATIAN KAUM BAJAU PULAU OMADAL

Kematian boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan oleh manusia kerana setiap yang hidup akan mati jua apabila sampai ajalnya. Bagi sesetengah orang, kematian merupakan sesuatu yang menakutkan kerana apa yang sebenarnya berlaku selepas kematian masih menjadi tanda tanya.  Kita juga percaya akan kewujudan alam lain selepas mati dan percaya akan kewujudan akhirat di mana segala perbuatan kita akan dihisap baik dan buruknya. kepercayaan serta upacara kematian yang dilakukan menegaskan harapan dan keyakinan manusia tentang adanya dunia lain yang mungkin serupa atau lebih baik daripada dunia sementara ini.[3]

          Seperti beberapa bangsa lain, orang-orang Bajau juga percaya dengan pendirian bahawa seseorang yang telah meninggal dunia akan meneruskan hidupnya di dalam alam baqa. Sama ada kehidupan si mati di alam baqa baik atau tidak bergantung kepada dua faktor utama iaitu kelakuannya di dunia dan cara pengebumian yang betul. Orang Bajau percaya bahawa kelauan seseorang di dunia ini akan menentukan corak kehidupannya di alam baqa. Dengan perkataan lain, orang yang baik dan selalu beramal ibadat akan mendapat balasan yang baik juga di akhirat kelak dan begitu juga sebaliknya.







Bot yang saya tumpangi dari Kampung Gusung Melanta ke Pulau Omadal, tambang RM1.00 seorang

ï
 

 



















Gambar menunjukkan sebahagian pola perumahan Kg. Pulau Omadal Utara.
Kampung Pulau Omadal terdiri daripada Kampung Omadal Selatan, Tengah dan Utara         ð
 

 










Untuk mendapatkan kesenangan di akhirat, si mati juga harus dikebumikan dengan baik, iaitu selaras dengan keperluan adat dan agama. Tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal si mati terserah kepada keluarga atau kaum kerabat terdekatnya. Kebaikan yang dilakukan oleh mereka untuk si mati akan diterima oleh si mati di akhirat. Misalnya, amalan bersedekah kepada orang lain selepas berlakunya satu-satu kematian adalah cara yang membolehkan si mati memperoleh kebaikan di akhirat. Itulah sebabnya, di kalangan orang Bajau sebagaimana di kalangan orang Islam yang lain, wang, pakaian dan beberapa benda lain. Benda-benda yang disedekahkan kepada orang lain secara tidak langsung akan diterima oleh si mati di akhirat. Amalan ini adalah berdasarkan konsep kebaikan dibalas dengan kebaikan dan sebaliknya kejahatan akan dibalas dengan kejahatan. Jadi, jika keluarga si mati bersikap kedekut dan tidak bersedekah, si mati akan mengalami kesusahan dan kekurangan di akhirat. Daripada kepercayaan begini, jelaslah bahawa orang Bajau umumnya mengambil berat tentang upacara kematian yang dianggap dapat menentukan keadaan hidup si mati di akhirat.

          Orang Bajau percaya bahawa jika orang yang meninggal dunia itu tidak dikebumikan dengan betul, maka keluarga dan kaum kerabatnya telah berdosa kerana melupakan tanggungjawab mereka dan mereka akan menerima balasan yang buruk daripada roh si mati. Misalnya, mereka akan dikenakan penyakit, kemalangan atau kecelakaan yang lain. Mereka juga percaya bahawa orang yang telah meninggal dunia itu masih memerhatikan kelakuan dan perbuatan manusia, khususnya perbuatan mereka sendiri dan sesiapa yang menunjukkan sikap biadab terhadap mereka atau telah melupakan mereka akan menerima balasan yang jahat. Oleh kerana kuatnya kepercayaan ini di kalangan orang Bajau, didapati bahawa upacara kematian biasanya dikendalikan dengan penuh adat.

          Bagi masyarakat Bajau di Pulau Omadal ini, apabila sesorang itu telah menghembuskan nafas yang terakhir, dia akan didoakan dan ditutup dengan kain. Pada masa itu tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda orang itu telah meninggal dunia. Terdapat juga beberapa pantang larang yang patut dipatuhi bagi sesuatu kematian bagi mengelakkan penduduk kampung tersebut ditimpa kecelakaan lagi. Biasanya mereka akan berpantang dari hari pertama sehingga hari ketujuh selepas  kematian. Antaranya adalah seperti mereka tidak boleh memecahkan barang-barang seperti gelas, mangkuk, piring dan barang lain. Jika di sesebuah rumah ada barang yang pecah, kejadian itu dianggap sebagai alamat buruk yang menandakan di rumah berkenaan akan berlaku kematian tidak lama lagi. Di samping itu, mereka juga tidak boleh membakar benda yang menjadi makanan, tetapi boleh membakar sampah-sarap. Mereka juga tidak boleh melakukan sesetengah kerja seperti menjahit baju, bertukang atau menganyam, tidak boleh membuang kutu dari rambut kerana perbuatan itu dikatankan akan mendatangkan sial. Mereka juga dilarang untuk bersin di rumah si mati kerana jika seseorang bersin di rumah itu, ada kemungkinan yang kematian juga akan berlaku di rumah orang yang bersin. Dari hari pertama sehingga hari ketujuh, rumah si mati tidak boleh dicuci tetapi rumah-rumah lain di kampung itu boleh dicuci jika perlu. Mereka amat menitikberatkan soal pantang karang ini untuk mengelakkan mereka mendapat kecelakaan kelak.






ï  Encik Akhmad Hj. Monggoh menemu bual Tuan Iman Hj. Aladin @ Hj. Sairuddin Hj. Salahuddin Imam Kampung Omadal Utara pada  20 Ogos 2006, pukul 2.15 petang. Temu bual berfokus kepada Adat-Istiadat Kematian Bajau Omadal

 


 
















Gambar bersama Encik Jimlan Sabtuhari, JKKK. Kampung Omadal Selatan (duduk tengah) dan selepas ini memohon kebenaran ambil gambar perkuburan Kampung Omadal Selatan.
                                           ð

 

 










UPACARA MEMANDIKAN DAN MENGAPANKAN JENAZAH

Upacara memandikan jenazah secara umumnya sama seperti yang diamalkan oleh bangsa-bangsa lain yang beragama Islam.  Jenayah perlu dimandikan dan dibersihkan terlebih dahulu oleh beberapa orang ahli agama  dan tahu tentang hal-hal seperti ini. Bagi orang-orang Bajau Omadal ini, dalam upacara memandikan jenazah ini mereka akan menggunakan air yang digunakan itu mestilah air yang telah ditapis dengan kain putih, diasap dengan kemenyan dan dibacakan ayat-ayat suci oleh iman supaya terlepas daripada segala kekotoran.
          Setelah jenazah dimandikan, rambutnya akan dibersihkan. Bagi menghilangkan daki rambutnya, mereka menggunakan air lubi (santan) yang boleh berwarna putih, kunig (jika dicampurkan kunyit), hijau atau kelabu (jika dicampurkan daun-daun wangi). Setelah daki dihilangkan, barulah rambut si mati dicucikan dengan air bersih. Penggunaan air lubi disusuli oleh penggunaan airsembilan. Air ini juga merupakan air suci yang telah ditapis baik-baik dengan menuangkan air biasa ke dalam cerek yang mulutnya ditutupkan dengan kain putih. Sebelum air dituangkan ke dalam cerek, cerek terlebih dahulu diasapkan dengan kemenyan. Sebenarnya air sembilan ini digunakan sebagai air wuduk, tetapi bagi sesetengah keluarga mereka menggunakan sebahagian air ini untuk disiramkan ke badan jenazah sebagai air bekalan untuknya[4]. Setelah selesai pemandian air bekalan itu, lengkaplah upacara memandikan jenazah ini dan jenazah bolehlah  dikafankan.








ï
Gambar diambil pada 20. 8. 2006, 2.10 petang
Surau  Kampung Omadal Utara sedang dalam pembinaan mengganti masjid lama
 

 











 












UPACARA PENGEBUMIAN (PANKUBULAN)

Setelah dikafankan, jenazah akan disembahyangkan dan setelah itu barulah jenazah akan dikebumikan. Apabila jenazah telah siap sedia untuk dibawa ke tanah perkuburan, sekali lagi dibunyikan gong sebagai isyarat. Mengikut adat Bajau di Pulau Omadal ini ketika hendak diusung ke tanah perkuburan, keluarganya termasuk ibu bapa, anak menantu, adik beradik, cucu dan sepupu yang kesemuanya bertudung putih akan berjalan berulang-alik tiga kali di bawah keranda (naja-naja) [5].

          Semasa mengiring keranda ke tanah perkuburan ia mesti dilindungi oleh payung putih. Bilangan payung yang digunakan mestilah ganjil iaitu, satu, tiga, lima, tujuh atau sembilan. Payung yang digunakan berupa kain putih yang dililitkan pada batang buluh sehingga menyerupai bentuk payung. Kain yang dililitkan itu tidak boleh dipotong-potong.

          Ada kalanya bersama-sama jenazah di dalam kuburan, disertakan beberapa biji buah pinang untuk mewakili anak cucu si mati yang masih kecil. Adat ini dikatakan untuk membawa semangat semangat saudara maranya yang masih kecil terutamanya yang akan menrinduinya kelak untuk dibawa semangatnya bersama. Setelah selamat dikebumikan, mengikut adat Bajau setelah kuburan ditimbus, batu nisan akan dipacakkan pada hari tersebut juga.



 












Keadaan di dalam rumah orang Bajau Omadal.   Menurut Tuan Imam Hj. Aladin @ Sairuddin Hj. Salahuddin simati sebelum dikebumikan didiurus dan disembahyangkan di tengah ruang dalam  rumah keluarga simati.  Mulai dari malam pertama hingga malam ketujuh di tengah ruang inilah setiap malam berganti-ganti membaca Al-Quran mengikut cara adat Bajau Pulau Omadal.

 
 









SELEPAS PENGEBUMIAN : KENDURI ARWAH DAN ’MAGJAGA-JAGA’

Selepas pengebumian, satu tempat tidur yang terdiri daripada tikar tilam dan bantal-bantal dibina untuk si mati. Bantal-bantal itu diletakkan di bahagian kepala dan kiri kanan tempat tidur itu. Segala pakaian si mati akan diletakkan berdekatan bahagian kepala tempat tidutnya. Selama tujuh hari berturut-turut seorang imam akan menjaga tempat tidur itu dan selama tujuh hari juga keluarga si mati akan mengadakan kenduri arwah dan bacaan doa secara kecil-kecilan kecuali pada hari ketujuh
          Di samping itu, mengikut kepercayaan orang Bajau, jika pakaian dan benda lain kepunyaan si mati tidak disedekahkan kepada orang lain, di akhirat nanti si mati akan mengalami kekurangan. Oleh itu kaum keluarga si mati dikehendaki memberikan pakaian dan beberapa barangan si mati untuk disedekahkan kepada orang lain.




 












Gambar diambil
 pada 20. 8. 2006 jam 35 petang

Perkuburan Bajau Pulau Omadal Selatan dan Kampung
Omadal Tengah

 
 



















Gambar diambil pada 20.8. 2006


ï Contoh perkuburan Bajau Pulau Omadal Semporna.

 

 












 


















PENUTUP

Kematian adalah fenomena yang bukan sahaja menimbulkan suasana sedih, tetapi sering mengganggu kehidupan manusia. Hal ini jelas apabila berlaku sesuatu kematian, kaum keluargasi mati, khususnya mereka yang mempunyai ikatan kekeluargaan yang akrab dengannya. Mereka akan merasa seperti satu kehilangan terutama sekali jika orang yang terlibat itu adalah antara orang-orang yang rapat dengannya. Walau apapun kita seharusnya menerima segalanya sabagai satu suratan dari yang maha Esa.

          Bagi masyarakat Bajau di Pulau Omadal ini mereka masih mengamalkan segala pantang larang dan kepercayaan yang telah diamalkan dari nenek moyang mereka lagi. Mereka juga amat menitikberatkan segala pantang larang yang telah ditetapkan kerana mereka khuatir akan mendapat kecelakaan jika melanggarnya. Jelaslah bahawa konsep ’tulah’ amat dititikberatkan dalam kepercayaan masyarakat ini.

          Walau apapun pantang larang dan kepercayaan yang mereka amal, selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama yang kita anuti dan tidak mendatangkan kemudaratan maka tidak salah jika ia terus diamalkan. Melalui kepercayaan  ini akan membentuk kepelbagaian budaya dalam masyarakat kita terutama sekali masyarakat Malaysia. Budaya inilah yang membezakan kita bangsa-bangsa lain di dunia.












BIBLIOGRAFI


Clifford Sather  (1997), The Bajau Laut: Adaptation, History, and Fate in a Maritime    Fishing Society of South – Eastern Sabah, New York: Oxford University.

Hasan Mat Nor, (1982), Peribumi Sabah. Kuala Lumpur : Dewan Budaya.

Yang Beng Liang, (1978), Sistem Kepercayaan Orang Bajau Omadal, Sabah. Kuala     Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Yap Beng Liang, (1993), Orang Bajau Pulau Omadal : Aspek-Aspek Budaya, Kuala      Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuan Haji Imam Aladin @ Hj. Saniruddin Hj. Salahuddin, (2006), Imam Kampung
          Omadal Utara.  Semporna

Encik Jimlan bin KK. Sabtuhari, (2006), JKKK. Kampung Omadal Selatan, Semporna






[1] Yap Beng Liang, 1993,  Orang Bajau Pulau Omadal, Aspek-aspek Budaya, Selangor: DBP, Hal. 5
[2] Ibid. Hal. 13
[3] Ibid. Hal. 102.
[4] Ibid. Hal. 107
[5] Ibid. Hal. 109

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes